Jumaat, 30 April 2010

“Along tak nak lah pegi zoo”


Setelah selesai mengemas beg sekolah Along dan Adik serta menyediakan sarapan pagi tadi seperti biasa saya terus naik ke bilik untuk mengejutkan anak-anak untuk mandi serta bersiap ke tadika.

Saya tengok Along dah bangun, dia senyum apabila melihat saya. “Emm Sayang dah banguuun, veeeryyy gooood”, leganya saya tak perlu susah-payah kejut dah bangun. Cuma Adik yang masih nyenyak tidur dalam pelukan Abahnya.

Akram: Ummi, tadika ada brapa lagi?
Ummi: Ada sehari je lagi (sambil mengangkat jari telunjuk).
Akram: Ooo, cuti dua kita nak pegi mana?
Ummi: Saturday kita pegi clinic Adik dan pegi shopping, Sunday kita pegi zoo lah, nak tak?
Akram: Along tak nak lah pegi zoo.

(Ish, pelik Along ni. Selalunya dia gembira sangat kalau tahu kami nak bawa pergi zoo).

Ummi: Kenapa tak nak? Along tak suka pegi zoo?
Akram: Suka, tapi Along nak balik kampung lah, nak naik bus.
Ummi: Alaa kita pegi zoo la, dekat zoo best, ada owl, ada monkey, ada tiger…
Akram: Along nak balik kampung jugak…

(Saya terdiam, nak balik agak berat hati jugak bila mengingatkan kerja saya yang bertimbun tu, tak nak balik pun agak berat hati jugak bila ingatkan permintaan Along ni).

Lastly, malam ni kami sekeluarga akan bertolak balik kampung (Wakaf Bharu, Tumpat dan Wakaf Aik, Bachok), cuma tak naik bus, saya tak tahu bagaimana nak packing barang yang banyak tu kalau naik bus, dengan mainan lagi, dengan bantal busyuk lagi, buat malu kat driver bus je. Kita gembira apabila anak-anak kita gembira.

Rabu, 28 April 2010

Hanya satu peluang


Ingatlah…

Jika anak kita hidup dalam kesabaran,
dia akan belajar menjadi penyabar;

Jika anak kita hidup dalam galakan,
dia akan belajar menjadi yakin;

Jika anak kita hidup dalam pujian,
dia akan belajar menghargai;

Jika anak kita hidup dalam persetujuan,
dia akan belajar menyayangi diri sendiri;

Jika anak kita hidup dalam kejujuran,
dia akan belajar memahami kebenaran;

Jika anak kita hidup dalam keadilan,
dia akan belajar menjadi adil;

Jika anak kita hidup dalam keselamatan,
dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain;

Jika anak kita hidup dalam kemesraan,
dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.

Namun…

Jika anak kita hidup dalam kekasaran,
dia akan belajar melawan orang lain;

Jika anak kita hidup dalam kritikan,
dia akan belajar menyalahkan orang lain;

Jika anak kita hidup dalam ketakutan,
dia akan belajar jadi pengecut;

Jika anak kita hidup dalam iri hati,
dia akan belajar berasa bersalah;

Kita hanya diberi satu peluang untuk membesarkan dan mendidik anak-anak sementara mereka masih bersama kita…manfaatkan peluang ini dan lakukannya sehabis baik.

Selasa, 27 April 2010

Berlapang dada, terimalah seadanya


Setiap ciptaan ALLAH mempunyai rahsia yang tersendiri. Samalah juga dengan kehidupan kita. Setiap yang berlaku bukanlah perkara sia-sia sebaliknya mempunyai hikmah yang tersendiri. Kita sebagai hamba-NYA perlulah redha, sentiasa berlapang dada dan terima ujian tersebut seadanya. Agak berat juga saya rasakan pada mulanya menerima ujian demi ujian ini, namun berkat sokongan dan semangat yang tidak pernah padam dari suami terutamanya dan kawan-kawan menjadikan saya lebih tabah serta cekal mendepani semua ketentuan ini.

Anak pertama kami, Akram…
• Mempunyai masalah Duodenal Atresia iaitu usus tidak bersambung, selamat dibedah ketika hari ke-3 dilahirkan
Premature 35 weeks, kiwi vacuum for fetal distress, beratnya hanya 1.91 kg (lahir pada 1 Ogos 2005, due date yang asal adalah 4 September 2005)
Prolonged Jaundice – semasa baby badannya dah lah kecik, kerap pula diambil darahnya untuk pemeriksaan
Delay on speech and social (global development delay) - menjalani speech therapy di HUKM
• Lambat berjalan – menjalani fisioterapi di HUKM selama setahun kerana bahagian pinggang dan kebawah agak lemah
Cryptorchism - sejak dilahirkan hanya mempunyai satu testis di dalam kerandutnya dan satu lagi tidak turun dalam keadaan normal, Alhamdulillah sekarang dah kembali normal tanpa perlu dibedah
Bronchitis – perlu ambil nebulizer setiap kali demam dan batuk
• Kerap demam dan selsema – agak mudah berjangkit dari Adham atau kawan-kawannya di tadika

Anak kedua kami, Adham…
Bilateral Cleft Lip and Palate – setakat ini telah selamat menjalani 4X pembedahan
G6PD Deficient – susah jugak nak jaga dia masa baby dulu
Bronchitis - perlu ambil nebulizer setiap kali demam dan batuk
• Kerap demam dan selsema – memang agak kerap, namun nasib baik dia tidak mudah berjangkit macam Akram dan lebih cepat sembuh berbanding Alongnya
• Mendapat jangkitan telinga – sekarang masih lagi berjumpa Audiologist di Hospital Serdang
• Masalah pertuturan – pernah menjalani speech therapy di HUKM (4X) dan sekarang ini di Shah Alam (bermula Januari 2010 hingga sekarang)

Andainya saya diberi pilihan, saya tak mahu melalui semua ini, namun apalah daya kita sebagai hamba-NYA untuk menolak semua suratan ini. Kalau kita rasa susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Saya akhiri dengan petikan 2 ayat ini buat renungan kita bersama…

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah, ayat 286.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." -Surah Ali-Imran, ayat 139.

Isnin, 26 April 2010

Hak Anak


Rutin harian kita sebagai ibu bapa dalam dunia hari ini kebanyakannya agak sibuk. Rata-rata kita dapati ibu bapa perlu bekerja demi memenuhi keperluan hidup. 5 hari bekerja dan 2 hari cuti; selalunya bagaimana kita habiskan cuti hujung minggu ini? Terpaksa kerja bagi mendapatkan pendapatan sampingan? Jumpa kawan-kawan (anak ditinggalkan dengan bibik)? Tidur saja di rumah? Bawa anak-anak balik kampung? Ataupun bagaimana?

Setiap hujung minggu kami sebaik mungkin manfaatkan masa yang ada dengan aktiviti bersama anak-anak. Selalunya setiap Sabtu Adham ada speech therapy di Urbane Ethos Consultancy Language Enrichment & Stimulation Centre di Seksyen 13, Shah Alam selama sejam (11am-12pm). Perjalanan dari rumah (Pajam, Mantin N9) ke sana mengambil masa 2 jam pergi dan balik. Selalunya kami bercerita dengan anak-anak sepanjang perjalanan bagi mengurangkan rasa bosan mereka dan merapatkan hubungan dengan mereka. Sementara menunggu Adham tamat sesi itu kami 3 beranak akan membeli barang dapur di Giant Shah Alam.

Hari Ahad juga kami biasanya bawa anak-anak keluar; shopping atau book shop atau pergi jalan-jalan atau naik komuter (Batang Benar ke Seremban). Kalau ikutkan saya dan Abahnya lebih selesa habiskan masa dirumah, tak penat dan jimat duit, tapi setiap kali balik dari tadika petang Jumaat Akram selalu tanya “Ummi, esok cuti dua nak pegi mana?”. Dan soalan inilah yang membuatkan kami jadi serba-salah jika hanya terperap dirumah. Kesian jugak anak-anak, hari lain kita tak ada, hanya hujung minggu saja kita berpeluang melayan kerenah mereka sepenuhnya.

“Perkara terbaik yang harus diberikan kepada anak-anak adalah waktu anda”. Gunakan ianya sebaik mungkin agar anak merasakan diri mereka disayangi dan dihargai.

Khamis, 22 April 2010

Fikir satu-persatu


Semasa sesi soal-jawab di perjumpaan CLAPAM AGM 2010 baru-baru ini ada seorang bapa (isterinya masih dalam pantang) yang bertanyakan soalan tentang bagaimana penjagaan anak cleft, apa rawatan dan pembedahan yang perlu dijalankan bermula dari lahirnya anak ini sehingga anaknya meningkat dewasa. Beliau juga ada menceritakan perasaan terkejut dan tak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh dia dan isterinya. Dalam banyak-banyak soalan yang dikemukakan, saya agak tertarik dengan soalan bapa ini.

Mengikut rekod perubatan, di Malaysia dalam 700 kelahiran terdapat seorang anak yang cleft. Anak-anak ini kemungkinan besar terdedah dengan masalah penyusuan, jangkitan dalam telinga, masalah pertuturan, masalah kebersihan gigi dan mulut, tekanan emosi, dsb.

Mengikut maklumat yang saya dapat dari CLAPAM, jadual rawatan adalah seperti berikut:

1-3 bulan – pembedahan bibir
9-12 bulan – pembedahan lelangit
1-2 tahun – penilaian pendengaran
3-4 tahun – penilaian pertuturan
8-10 tahun – rawatan orthodontic
9-12 tahun – pemindahan tulang alveolar (ABG)
13-17 tahun – rawatan susulan orthodontic
18 tahun ke atas – pembedahan rahang/orthognatik (jika perlu)

Satu pasukan yang terdiri dari para professional yang terlibat dalam penjagaan, rawatan dan pengurusan anak cleft ini antaranya:

1. Pakar bedah (plastic, mulut/maksilofasial, kranofasial)
2. Pakar kanak-kanak
3. Pakar pergigian
4. Pakar pertuturan
5. Pakar audiologi, ENT
6. Pakar psikologi
7. Pakar genetic
8. Persatuan sokongan spt CLAPAM, dan
9. Ibu bapa serta seluruh ahli keluarga

Syabas saya ucapkan kepada beliau kerana mengambil berat tentang kebajikan anak istimewa ini, namun nasihat saya kepada sahabat-sahabat kita yang mengalami nasib yang sama; jangan fikir segalanya secara serentak, cuba ambil masa untuk bertenang dan fikirkan secara rasional satu-persatu apabila tiba masanya nanti (mengikut umur anak dan keperluannya). Semuanya akan selamat dan berjalan dengan baik, INSYAALLAH.

Akhir kata dari saya “Anda tidak boleh mengubah masa lepas anda. Tetapi anda boleh memusnahkan diri anda kini sekiranya terlalu memikirkan masa depan anda”.

Rabu, 21 April 2010

Terima kasih Abah


Petang tadi Adham ada appointment di Hospital Serdang. Sepanjang minggu ini Abahnya tiada di rumah, outstation di Quality Hotel, KL. Nasib baiklah dia dibenarkan untuk menemankan kami ke hospital. Saya kesian sangat sebenarnya nak ajak Abahnya pergi bersama memandangkan dia agak sibuk sepanjang minggu ni. Petang tadi pun dalam pukul 12 tengahari dia bertolak dari KL, sampai rumah dah hampir pukul 1 tengahari dia terus makan tengahari. Bimbangkan takut kami lambat sampai di sana, sampaikan dia nak mandi dan salin pakaian pun tak sempat. Saya bersyukur sangat kerana kalau berkaitan dengan appointment ataupun treatment anak-anak dia akan sedaya-upaya cuba memenuhinya sejak mula-mula kami ada anak sampailah sekarang.

Ada 2 sebab saya tidak dapat bawa anak-anak ke klinik atau hospital tanpa Abahnya; saya tidak boleh drive dengan anak (selalunya Adham akan duduk di ribaan saya) dan sebab kedua, anak-anak akan duduk di ribaan Abahnya setiap kali Doktor buat pemeriksaan. Anak-anak saya agak lasak dan cepat bosan, sebab itulah Abahnya sangat-sangat di perlukan untuk melayan kerenah anak-anak. Selalunya sayalah yang akan bertanyakan Doktor tentang keadaan anak kami. Sorang yang akan layan anak, dan sorang lagi yang akan jadi tukang cakap.

Pukul 2 petang kami ada appointment dengan pakar pembedahan plastik bagi membincangkan plan seterusnya serta pembedahan yang perlu dijalankan pada masa akan datang.

Dalam waktu terdekat ini Adham tidak perlu menjalani sebarang pembedahan. Dr Zairizam, plastic surgeon dari HKL hanya mengingatkan tentang kepentingan penjagaan gigi, telinga dan speech therapy. Doktor juga menerangkan serba sedikit tentang pembedahan ABG (alveolar bone grafts). Appointment dengan plastic surgeon seterusnya ditetapkan 6 bulan lagi.

Kami sampai rumah hampir waktu Asar. Nasib baik Abahnya sempat tidur dan mandi, lepas solat Maghrib terus bertolak ke KL. Saya tengok dia penat sangat, namun apalah daya kami, kami redha melalui segala kesusahan ini demi anak-anak. Semoga suatu hari nanti Akram dan Adham rasa syukur dan bangga menjadi anak-anak kami.

Selasa, 20 April 2010

Pembedahan demi pembedahan


Setakat ini Adham telah menjalani 4 kali pembedahan, sekarang dia sihat, aktif bermain macam anak-anak normal yang lain. Kami sentiasa berusaha untuk mendapatkan yang terbaik untuknya. Satu perkara yang saya syukur sangat-sangat, setiap kali pembedahan dia akan pulih lebih cepat dari waktu yang Doktor jangkakan; kalau Doktor jangkakan sebulan selalunya Adham akan pulih dalam masa 3 minggu. Saya sentiasa tanamkan keyakinan dalam diri bahawa “budak kecik ALLAH jaga, InsyaALLAH segalanya akan selamat”. Antara pembedahan yang telah Adham lalui setakat ini:

1st ~ Lip Operation
Hospital Pakar Tawakal, KL
Dr M Nasir Zahari
28 Apr 2007 – Adik berusia 4 bulan 20 hari
Operation Cost: RM 4460.50

2nd ~ Palate & Soft Palate Operation & pasang tiub telinga (grommet)
Hospital Pakar Tawakal, KL
Dr M Nasir Zahari & Dr Solahuddin Kenali
28 Jul 2007 - Adik berusia 7 bulan 20 hari
Operation Cost: RM 6166.14

3rd ~ Nose Operation
Prince Court Medical Centre, KL
Dr M Nasir Zahari
02 Jan 2009 - Adik berusia 2 tahun 25 hari
Operation Cost: RM 4394.70

4th ~ Dental Operation
Hospital Serdang
Team Dr Kalaiarasu Peariarasu
23 Feb 2010 – Adik berusia 3 tahun 2 bulan


Sebenarnya saya tak sampai hati melihat kesakitan yang dia alami setiap kali dibedah, tak sampai hati melihat kesukaran dia untuk minum susu dan makan setelah dibedah, namun kami sekeluarga selalu mengharapkan yang terbaik untuknya. Semoga pembedahannya di masa-masa akan datang berjalan dengan selamat dan segara sembuh seperti sebelum ini.

Isnin, 19 April 2010

Terima kasih sahabat






Sahabat sejati adalah mereka yang sanggup berada di sisi ketika kita memerlukan sokongan walaupun saat itu mereka sepatutnya berada di tempat lain yang lebih menyeronokkan.

Syukur Alhamdulillah saya dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang boleh berkongsi segala kesedihan dikala diri ini sedang berduka. Selain dari suami, merekalah tempat saya mengadu. Terima kasih kepada sahabat-sahabat saya di KUIS, pensyarah dan sahabat saya di UKM dan UPM serta jiran-jiran saya, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya, doa saya semoga mereka semua sentiasa dilindungi dan diberkati ALLAH.

“Seorang teman sejati akan membuat anda hangat dengan kehadirannya, mempercayai akan rahsianya dan mengingat anda dalam doa-doanya”.

“Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah”.


"Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang
lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari" - (Saidina Ali)

Jumaat, 16 April 2010

Analisis peribadi dengan bulan kelahiran (menurut DMFK)


Sebenarnya ada beberapa cara untuk mengenali diri sendiri. Salah satunya adalah melalui bulan kelahiran. Walau bagaimanapun ianya adalah sekadar panduan, tidak semestinya betul dan tidak semestinya kita boleh percaya sepenuhnya. Atau senang cakapnya tak wajib betul, harus salah.

Akram lahir pada 1 Ogos 2005, 11:41 am, di HUKM. Mengikut kajian DMFK…

Suka berlawak. Mudah tertawan padanya.

Sopan santun dan mengambil berat terhadap orang lain… Yang ni saya setuju sangat, setiap kali dia tengok saya sedih atau muram dia akan datang peluk dan cium pipi saya. Sejak dia masuk tadika (3 tahun setengah) dia memang nampak caring sangat, “Ummi jangan la nangis, Along ada, Along sayang Ummi”. Kalau adiknya nangis pun dia akan pujuk dan peluk Adham, “Dah, dah, dah, adik jangan nangis”.

Berani dan tidak tahu takut…Iye ke ni?? Selalunya dia yang lebih takut berbanding adiknya.

Orangnya agak tegas dan bersikap kepimpinan... Selalu nak jadi leader, kalau time main Adham kena ikut arahannya, kalau tak gaduhlah jawabnya.

Pandai memujuk orang lain…Memang bakatnya yang ni terserlah sangat…!

Terlalu pemurah dan bersikap ego. Nilai harga diri yang sangat tinggi. Dahagakan pujian. Semangat juang yang luar biasa. Cepat marah dan mudah mengamuk. Mudah marah apabila cakapnya dilawan. Sangat cemburu. Daya pemerhatian yang tajam dan teliti. Cepat berfikir. Fikiran yang berdikari. Suka memimpin dan dipimpin. Sifat suka berangan.

Berbakat dalam seni lukis, hiburan dan silat…Kat rumah memang dia suka melukis, tak tau la saya berbakat ataupun tak. Tulisannya pun agak kemas dan teratur.

Sangat sensitif tapi tidak mudah merajuk. Cepat sembuh apabila ditimpa penyakit…Yang ini selalunya tak, dia memang agak lambat sembuh apabila demam, batuk atau selsema. Biasanya antibiotic dah habis, tapi demamnya tak kebah pun lagi.

Belajar untuk bertenang. Sikap kelam kabut. Romantik, pengasih dan penyayang. Suka mencari kawan.

Adham lahir pada 8 Disember 2006, 08:02 pm, juga di HUKM. Mengikut kajian DMFK…

Sangat setia dan pemurah. Bersifat patriotik.

Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan
…Dia memang pandai bawa diri, kawan-kawannya sangat suka bermain bersamanya.

Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa…Selalunya dalam bab nak minta makanan atau minuman dia kurang sabar, macam lapar sangat-sangat. Kalau saya tengah sibuk buat kerja lain pun terpaksalah tinggalkan dulu, kesian jugak kat dia.

Bercita-cita tinggi. Seronok bila didampingi. Suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Suka bercampur dengan orang.

Suka dipuji, diberi perhatian dan dibelai
…Selalunya kalau saya panggil “Adik Cayang” lagi dia suka, saya selalu cakap kat dia, “Adik ni pandai, hebat, handsome, comel, very good, kecik", pasti dia senyum meleret.

Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Tidak pandai berpura-pura. Cepat marah. Perangai yang mudah berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga dirinya sangat tinggi. Benci pada kongkongan.

Suka berlawak. Pandai buat lawak dan berfikiran logik
…Yang ini pun tepat jugak, cara dia makan, senyum, jalan, lompat, menjeling dan kerdip mata, membuatkan saya dan abahnya terhibur, memang dia pandai buat lawak. Semua gaya Upin dan Ipin tu dia tau buat.

Apa jua sifatnya yang baik tu kita suburkan terus, yang kurang baik tu cuba elakkan dan hapuskan.

Hebatnya doa


Dalam menjalani hidup seharian kita tidak dapat lari dari menghadapi kesulitan, keresahan, kekecewaan, kesedihan serta segala macam rasa kedukaan. Adakalanya kita menjadi buntu, fikiran bercelaru, tak tau apa yang sepatutnya kita buat. Dalam keadaan inilah seharusnya kita jangan sesekali melupakan kewujudan ALLAH. Bila saya rasa seolah-olah diri ini gagal, rasa hampir putus asa, rasa tak tau nak buat apa, rasa dah tak ada tempat untuk mengadu atau meluahkan perasaan, saya akan berdoa…

“Ya ALLAH, aku tak tahu apa-apa, aku redha setiap ketentuan yang KAU berikan, segalanya aku serahkan pada-MU, KAU lebih mengetahui apa yang terbaik buat diriku”.

Selalunya saya akan jadi lebih tenang, lebih rasional dan lebih redha menerima setiap ujian yang dihadapi. Tanamkan keyakinan dalam diri kita yang ALLAH Maha Mengetahui.

Doa memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian kepada orang yang ketakutan.

Persediaan mental


Saya melahirkan Adham secara Caesarean kerana saya demam pada masa itu. Semasa pembedahan dijalankan ada seorang Dr yang ditugaskan untuk bercakap-cakap (memberi nasihat dan kata-kata semangat) dengan saya sepanjang pembedahan tersebut. Dr itu berada di hujung kepala saya. Pada awalnya dia ada memperkenalkan dirinya. Saya pun dah lupa apa jawatan Dr itu. Mungkin juga dia adalah Dr psikologi. Antara kata-katanya yang masih lagi segar di ingatan saya…

“Puan kena banyakkan sabar, puan harus kuat hadapi semua ni, kalau puan tak kuat, anak ini akan tambah-tambah lagi tak kuat, puan mesti cepat-cepat tenangkan diri, kalau puan tak tenang dalam waktu terdekat ini siapa yang akan menjaga anak puan…

…menjaga anak yang sebegini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi puan dan keluarga mesti selalu berada disampingnya untuk memberi kekuatan padanya mulai sekarang sehinggalah dia dewasa. Bila dia mula sekolah nanti ada kemungkinan dia akan menjadi bahan ejekan orang di sekelilingnya, ada kemungkinan juga dia akan jadi kurang yakin pada dirinya sendiri, ataupun rasa rendah diri, segala kemungkinan ini puan harus bersedia dari awal”.

Sepanjang Dr itu bercakap saya tidak dapat memberi sebarang respon, hanya mampu mengalirkan air mata, lebih-lebih lagi tanpa abahnya di sisi kerana tidak dibenarkan masuk sepanjang pembedahan tersebut. Dalam fikiran saya berkecamuk memikirkan adakah saya mampu menghadapi semua ini… Terus-terang saya katakan saya lebih rela diejek dari mendengar anak saya diejek. Ya ALLAH, moga Adham tidak melalui segala kepayahan ini.

Khamis, 15 April 2010

Sayangi anak kita


Hati saya agak tersentuh pagi ini setelah membaca berita muka depan pada Harian Metro yang bertajuk “Mati didera siang malam”. Petikan dari berita tersebut antaranya;

SERDANG: Misteri jeritan sayu diselangi tangisan kanak-kanak pada lewat malam yang menghantui penduduk sebuah pangsapuri di sini sejak hampir sebulan lalu akhirnya terbongkar selepas seorang budak perempuan berusia tiga tahun ditemui mati didera, pagi semalam.

Penderitaan kanak-kanak malang itu, Lee Swee Hui, berakhir selepas mangsa yang dipercayai dipukul teruk, selain kepalanya dihentak pada dinding, mati di rumahnya di Pangsapuri Bayu, Taman Sri Serdang 8, di sini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa dipercayai dipukul saban hari oleh bapa tiri dan ibu kandungnya tanpa mengira siang atau malam.

Pada 25 Februari lalu, Syafia Humairah Sahari, juga tiga tahun, meninggal dunia selepas dipercayai didera di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali manakala seminggu selepas itu, K Haresvarren, 18 bulan, meninggal dunia akibat didera di Sungai Kayu Ara, Damansara.

Saya sendiri bukanlah tidak pernah memukul anak. Sekiranya Akram atau Adham ada melakukan kesilapan saya akan memukul tapak tangan, tapak kaki atau betis mereka menggunakan tangan saya sendiri. Kemudian selalunya mereka akan minta maaf dengan saya atau Abahnya, setelah itu kami akan memberitahu apa kesalahan yang mereka lakukan. Memukul anak menggunakan tangan sendiri ada kebaikannya; sentuhan antara kita dengan anak menjadikan ikatan kasih sayang semakin kuat serta kita dapat rasakan kesakitan yang anak kita tanggung dan dengan sendirinya kita tidak akan memukul melampaui batas.

Kita boleh memukul anak dengan bertujuan untuk mengajar serta mendisiplinkan anak, seperti kata pepatah “sayangkan anak tangan-tangankan”.

Rabu, 14 April 2010

Perkongsian Pengalaman


Sebenarnya sudah lama saya ingin berkongsi pengalaman suka duka, pahit manis, susah senang yang saya dan suami tempuhi dalam menjaga, membesarkan dan mendapatkan rawatan anak cleft. Dan kami masih lagi melaluinya hingga saat ini. Moga pengalaman saya ini boleh dijadikan panduan serta kekuatan pada kita semua. Adham sekarang berusia 3 tahun 4 bulan, setakat ini telah menjalani 4 kali pembedahan.

Namun kesibukan tugas seharian serta kesuntukan masa menyebabkan niat saya ini seringkali tertangguh. Sehinggalah saya ditakdirkan bertemu dengan beberapa keluarga semasa CLAPAM AGM pada Sabtu lepas di Hospital Pantai. Dalam perbualan singkat itu saya merasakan yang ada segelintir ibu bapa yang senasib dengan kami merasakan agak perit, buntu, terkejut, sedih, bersalah, emosi terganggu, resah, serta agak kecewa setelah dianugerahkan dengan anak cleft.

Nasihat saya, jangan salahkan diri sendiri, dan juga jangan salahkan suami. Anak adalah anugerah istimewa dari Allah, maka jagalah anak ini dengan belaian kasih sayang dan sokongan agar dia mampu menjadi insan soleh/solehah, cemerlang dan hebat suatu hari nanti.

Anak-anak kita ini bukanlah cacat, ia hanyalah suatu kekurangan yang masih lagi boleh diperbaiki. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaannya jika anak kita dilahirkan tanpa tangan ataupun tanpa kaki, tentulah keadaannya bertambah sukar dari yang terpaksa anak kita lalui sekarang. Bukanlah niat saya untuk mencela golongan yang cacat ini, namun adakalanya kita perlu melihat orang yang lebih susah dari kita agar kita merasakan yang betapa beruntungnya diri kita.

Hanya ibu bapa yang istimewa dianugerahkan dengan anak yang istimewa, percayalah…

Selasa, 13 April 2010

Pilihan Nama-nama Anak


Sebagai ibu bapa, kita wajib memberikan nama yang baik kepada anak-anak. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya di antara hak anak ke atas ayah ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya.” (Hadis riwayat al-Bazzar).

Nama yang elok bukan bererti yang sedap didengar sahaja tetapi memberikan makna yang baik. Mungkin ada ibu bapa yang terlepas pandang bahawa nama yang kita berikan kepada anak-anak malah nama yang kita guna sehari-hari turut berperanan sebagai doa. Lazimnya, sekiranya kita sering mengucapkan sesuatu yang baik sudah pastilah perkara yang baik juga akan berlaku, dan begitu juga sebaliknya.

Saya mempunyai 2 orang anak lelaki; Muhammad Akram (lebih mesra dipanggil Along Akram, lahir pd 01-08-2005) dan Muhammad Adham (kami sekeluarga memanggilnya Adik Adham, lahir pd 08-12-2006).

Selalunya saya yang akan terlebih dahulu menyenaraikan nama-nama anak, kemudian berbincang dengan Abahnya dalam menentukan pilihan muktamad. Pada 15-05-2005 (3 bulan sebelum Along Akram dilahirkan) saya telah menyenaraikan pilihan nama-nama untuk Along Akram;

1. Adlan – Keadilan
2. Adham – Yg cantik/elok pekerti
3. Adil – Yg adil
4. Afnan – Kecantikan/seri
5. Aflah – Yg beruntung
6. Afham – Yg pandai
7. Akram – Yg mulia
8. Aqil – Bijak/terpelajar
9. Arham – Yg mesra
10. Arif – Yg bijak/mengetahui
11. Arfan – Mengetahui
12. Aslam – Selamat/terkawal
13. Azfar – Yg berjaya/menang
14. Azam – Keazaman
15. Azim – Besar

Saya berkenan nama no.7 & no.11, akhirnya kami sepakat memilih no.7. Bagi anak ke-2 pula saya telah menyenaraikan pilihan nama-nama untuknya ketika kandungan saya berusia 6 bulan (11-07-2006), antaranya;

1. Adham – Yg cantik/elok pekerti
2. Afnan – Kecantikan/seri
3. Akhtar – Yg terpilih
4. Aniq – Yg kacak lg menawan ht
5. Arham – Yg mesra
6. Azka – Semakin maju
7. Aflah – Yg beruntung
8. Afkar – Yg bijak
9. Alzam – Yg tekun
10. Amnan – Tpt yg aman
11. Amnaan – Ketenangan
12. Amsyar – Yg cergas
13. Amzar – Yg mulia

Saya berkenan nama no.3 & no.5, Abahnya suka no.1, 2, 5 & 7, akhirnya kami sepakat memilih no.1.

Pilihan nama-nama ini adalah berpandukan buku “Pilihan Nama-nama Dalam Islam” oleh Abu Afiqah, cetakan ke-7, 2002.

Isnin, 12 April 2010

Tentang Waktu


ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan,
ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi,
ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan,
ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan,
ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah,
ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan,
ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati,
ambillah waktu untuk memberi, itu dapat membuat hidup terasa beerti,
ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan,
ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga...

Renungkan sejenak, adakah kita memperuntukkan waktu untuk perkara-perkara yang penting ini?

Ahad, 11 April 2010

Teristimewa

Salam Perkenalan


Salam perkenalan kepada semua terutama kepada ahli CLAPAM.