Rabu, 14 April 2010

Perkongsian Pengalaman


Sebenarnya sudah lama saya ingin berkongsi pengalaman suka duka, pahit manis, susah senang yang saya dan suami tempuhi dalam menjaga, membesarkan dan mendapatkan rawatan anak cleft. Dan kami masih lagi melaluinya hingga saat ini. Moga pengalaman saya ini boleh dijadikan panduan serta kekuatan pada kita semua. Adham sekarang berusia 3 tahun 4 bulan, setakat ini telah menjalani 4 kali pembedahan.

Namun kesibukan tugas seharian serta kesuntukan masa menyebabkan niat saya ini seringkali tertangguh. Sehinggalah saya ditakdirkan bertemu dengan beberapa keluarga semasa CLAPAM AGM pada Sabtu lepas di Hospital Pantai. Dalam perbualan singkat itu saya merasakan yang ada segelintir ibu bapa yang senasib dengan kami merasakan agak perit, buntu, terkejut, sedih, bersalah, emosi terganggu, resah, serta agak kecewa setelah dianugerahkan dengan anak cleft.

Nasihat saya, jangan salahkan diri sendiri, dan juga jangan salahkan suami. Anak adalah anugerah istimewa dari Allah, maka jagalah anak ini dengan belaian kasih sayang dan sokongan agar dia mampu menjadi insan soleh/solehah, cemerlang dan hebat suatu hari nanti.

Anak-anak kita ini bukanlah cacat, ia hanyalah suatu kekurangan yang masih lagi boleh diperbaiki. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaannya jika anak kita dilahirkan tanpa tangan ataupun tanpa kaki, tentulah keadaannya bertambah sukar dari yang terpaksa anak kita lalui sekarang. Bukanlah niat saya untuk mencela golongan yang cacat ini, namun adakalanya kita perlu melihat orang yang lebih susah dari kita agar kita merasakan yang betapa beruntungnya diri kita.

Hanya ibu bapa yang istimewa dianugerahkan dengan anak yang istimewa, percayalah…