Khamis, 15 April 2010

Sayangi anak kita


Hati saya agak tersentuh pagi ini setelah membaca berita muka depan pada Harian Metro yang bertajuk “Mati didera siang malam”. Petikan dari berita tersebut antaranya;

SERDANG: Misteri jeritan sayu diselangi tangisan kanak-kanak pada lewat malam yang menghantui penduduk sebuah pangsapuri di sini sejak hampir sebulan lalu akhirnya terbongkar selepas seorang budak perempuan berusia tiga tahun ditemui mati didera, pagi semalam.

Penderitaan kanak-kanak malang itu, Lee Swee Hui, berakhir selepas mangsa yang dipercayai dipukul teruk, selain kepalanya dihentak pada dinding, mati di rumahnya di Pangsapuri Bayu, Taman Sri Serdang 8, di sini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa dipercayai dipukul saban hari oleh bapa tiri dan ibu kandungnya tanpa mengira siang atau malam.

Pada 25 Februari lalu, Syafia Humairah Sahari, juga tiga tahun, meninggal dunia selepas dipercayai didera di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali manakala seminggu selepas itu, K Haresvarren, 18 bulan, meninggal dunia akibat didera di Sungai Kayu Ara, Damansara.

Saya sendiri bukanlah tidak pernah memukul anak. Sekiranya Akram atau Adham ada melakukan kesilapan saya akan memukul tapak tangan, tapak kaki atau betis mereka menggunakan tangan saya sendiri. Kemudian selalunya mereka akan minta maaf dengan saya atau Abahnya, setelah itu kami akan memberitahu apa kesalahan yang mereka lakukan. Memukul anak menggunakan tangan sendiri ada kebaikannya; sentuhan antara kita dengan anak menjadikan ikatan kasih sayang semakin kuat serta kita dapat rasakan kesakitan yang anak kita tanggung dan dengan sendirinya kita tidak akan memukul melampaui batas.

Kita boleh memukul anak dengan bertujuan untuk mengajar serta mendisiplinkan anak, seperti kata pepatah “sayangkan anak tangan-tangankan”.