Jumaat, 16 April 2010

Persediaan mental


Saya melahirkan Adham secara Caesarean kerana saya demam pada masa itu. Semasa pembedahan dijalankan ada seorang Dr yang ditugaskan untuk bercakap-cakap (memberi nasihat dan kata-kata semangat) dengan saya sepanjang pembedahan tersebut. Dr itu berada di hujung kepala saya. Pada awalnya dia ada memperkenalkan dirinya. Saya pun dah lupa apa jawatan Dr itu. Mungkin juga dia adalah Dr psikologi. Antara kata-katanya yang masih lagi segar di ingatan saya…

“Puan kena banyakkan sabar, puan harus kuat hadapi semua ni, kalau puan tak kuat, anak ini akan tambah-tambah lagi tak kuat, puan mesti cepat-cepat tenangkan diri, kalau puan tak tenang dalam waktu terdekat ini siapa yang akan menjaga anak puan…

…menjaga anak yang sebegini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi puan dan keluarga mesti selalu berada disampingnya untuk memberi kekuatan padanya mulai sekarang sehinggalah dia dewasa. Bila dia mula sekolah nanti ada kemungkinan dia akan menjadi bahan ejekan orang di sekelilingnya, ada kemungkinan juga dia akan jadi kurang yakin pada dirinya sendiri, ataupun rasa rendah diri, segala kemungkinan ini puan harus bersedia dari awal”.

Sepanjang Dr itu bercakap saya tidak dapat memberi sebarang respon, hanya mampu mengalirkan air mata, lebih-lebih lagi tanpa abahnya di sisi kerana tidak dibenarkan masuk sepanjang pembedahan tersebut. Dalam fikiran saya berkecamuk memikirkan adakah saya mampu menghadapi semua ini… Terus-terang saya katakan saya lebih rela diejek dari mendengar anak saya diejek. Ya ALLAH, moga Adham tidak melalui segala kepayahan ini.