Khamis, 22 April 2010

Fikir satu-persatu


Semasa sesi soal-jawab di perjumpaan CLAPAM AGM 2010 baru-baru ini ada seorang bapa (isterinya masih dalam pantang) yang bertanyakan soalan tentang bagaimana penjagaan anak cleft, apa rawatan dan pembedahan yang perlu dijalankan bermula dari lahirnya anak ini sehingga anaknya meningkat dewasa. Beliau juga ada menceritakan perasaan terkejut dan tak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya oleh dia dan isterinya. Dalam banyak-banyak soalan yang dikemukakan, saya agak tertarik dengan soalan bapa ini.

Mengikut rekod perubatan, di Malaysia dalam 700 kelahiran terdapat seorang anak yang cleft. Anak-anak ini kemungkinan besar terdedah dengan masalah penyusuan, jangkitan dalam telinga, masalah pertuturan, masalah kebersihan gigi dan mulut, tekanan emosi, dsb.

Mengikut maklumat yang saya dapat dari CLAPAM, jadual rawatan adalah seperti berikut:

1-3 bulan – pembedahan bibir
9-12 bulan – pembedahan lelangit
1-2 tahun – penilaian pendengaran
3-4 tahun – penilaian pertuturan
8-10 tahun – rawatan orthodontic
9-12 tahun – pemindahan tulang alveolar (ABG)
13-17 tahun – rawatan susulan orthodontic
18 tahun ke atas – pembedahan rahang/orthognatik (jika perlu)

Satu pasukan yang terdiri dari para professional yang terlibat dalam penjagaan, rawatan dan pengurusan anak cleft ini antaranya:

1. Pakar bedah (plastic, mulut/maksilofasial, kranofasial)
2. Pakar kanak-kanak
3. Pakar pergigian
4. Pakar pertuturan
5. Pakar audiologi, ENT
6. Pakar psikologi
7. Pakar genetic
8. Persatuan sokongan spt CLAPAM, dan
9. Ibu bapa serta seluruh ahli keluarga

Syabas saya ucapkan kepada beliau kerana mengambil berat tentang kebajikan anak istimewa ini, namun nasihat saya kepada sahabat-sahabat kita yang mengalami nasib yang sama; jangan fikir segalanya secara serentak, cuba ambil masa untuk bertenang dan fikirkan secara rasional satu-persatu apabila tiba masanya nanti (mengikut umur anak dan keperluannya). Semuanya akan selamat dan berjalan dengan baik, INSYAALLAH.

Akhir kata dari saya “Anda tidak boleh mengubah masa lepas anda. Tetapi anda boleh memusnahkan diri anda kini sekiranya terlalu memikirkan masa depan anda”.

Tiada ulasan: